Puasa dari segi Kesihatan
Puasa atau menahan diri dari makan dan minum telah menjadi amalan manusia dari berbagai kaum dan agama sejak dahulu kala lagi. Puasa menurut Islam bermaksud menahan diri daripada mengambil makanan dan juga minuman disamping menjauhkan pebuatan-perbuatan yang dilarang daripada terbit fajar sehingga kepada tenggelam matahari beserta dengan niat berpuasa. Di dalam agama lain pun ada disuruh penganutnya agar berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan yang disuruh di dalam Islam. Ada agama yang berpuasa tetapi bukan menahan lapar dengan tidak makan, tetapi hanya makan dan minum dalam bilangan yang lebih sedikit dari biasa. Ada yang berpuasa dari makan tetapi tidak dari minum. Ada pula yang menahan dari makan berhari-hari dan ada juga yang berminggu minggu. Terdapat juga mereka yang berpantang dari memakan dedaging dan hanya memakan sayur. Pendek kata, puasa telah digunakan sebagai ibadat, amalan atau kepercayaan manusia. Namun begitu terdapat juga agama yang mengharamkan ibadah puasa kerana proses menahan diri dari lapar adalah suatu yang menyeksakan.
Begitu pun masih tetap tidak relevan untuk dipanggil puasa, dan tiada hikmahnya apa pun. Kerana puasa yang berhikmah adalah puasa dengan tidak makan dari subuh hingga ke maghrib, dengan merehatkan perut dari bekerja sepanjang tahun.
Artikel ini fokus kepada puasa dan kesannya kepada kesihatan. Apakah di sebalik hikmah puasa dan apakah manfaatnya dari segi kesihatan? Puasa adalah suatu proses pembersihan rohani dan jasmani. Kita kurang mengetahui faedah atau kelebihan puasa dari sudut kesihatan fizikal. Lumrahnya kita kurang faham tatacara puasa yang boleh mendatangkan faedah kesihatan kerana terlalu mengikut tradisi yang telah menjadi kebiasaan kita bila berpuasa.
Kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa:
Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat-ubat moden. Puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.
Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.
Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan empat fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.
Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.
Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan: “Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”
Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.
Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.
Satu contoh yang utama ialah apabila pesakit dikehendaki berpuasa selama beberapa jam sebelum menjalani pembedahan atau prosedur-prosedur yang memerlukan penggunaan ubat bius. Ini kerana makanan di dalam perut boleh mengurangkan keberkesanan ubat bius itu. Satu lagi contoh ialah apabila menjalani sesetengah pemeriksaan kesihatan, biasanya kita akan diminta berpuasa supaya garis dasar (baseline) dapat dikenal pasti.
Ada juga orang yang berpuasa sebagai salah satu cara berdiet. Biasanya mereka perlu berpuasa agak lama, sekurang-kurangnya seminggu sebelum ia berkesan. Namun, mereka mungkin masih mengambil makanan sihat, seperti jus buah-buahan ataupun sayuran-sayuran.
Ini adalah kerana badan manusia menggunakan lebih kurang satu pertiga keseluruhan tenaga semasa masa jaga. Apabila badan sentiasa menggunakan tenaga tetapi tiada makanan yang diambil, badan manusia akan mencari sumber tenaga yang lain, seperti glukosa daripada simpanan glikogen di dalam limpa, asid lemak daripada lapisan lemak yang disimpan, dan akhirnya daripada tisu-tisu protein yang penting. Badan manusia tidak mempunyai masalah untuk bergantung dengan asid lemak, tetapi otak dan system saraf bergantung kepada glukosa. Apabila simpanan glukosa ini telah hampir habis, badan manusia mula menghasilkan ketone bodies (acetoactate, hydroxy-butyrate, and acetone) daripada protein. Kehabisan sumber protein ini boleh menyebabkan kematian. Jadi, para doktor amat menggalakkan pemakanan yang berkhasiat sahaja apabila hendak berpuasa.
Selain itu, terdapat beberapa lagi kebaikan berpuasa untuk kesihatan, seperti:
1. memberi kerehatan kepada perut untuk meningkatan kecekapan
2. menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik di dalam darah manusia
3. mengurangkan/menghapuskan ketagihan terhadap arak dan rokok
Hasilnya, kesihatan manusia akan bertambah baik. Berat badan dan risiko-risiko penyakit yang berkaitan dengan kegemukan dapat dikurangkan dan umur seseorang itu boleh bertambah panjang.
Terdapat kajian yang menyokong tentang kebenaran hadis yang mengatakan bahawa berpuasa mendatang kesihatan kepada pengamalnya. Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh universiti sains perubatan di Tehran, mereka dapati bahawa mengamalkan ibadah puasa tidak langsung mendatangkan kemudaratan, sebaliknya puasa yang sempurna mampu menyebabkan masalah berat badan dan metabolisma lemak dapat diselesaikan. Melalui ibadah puasa juga mampu membaik pulih sistem ginjal manusia, satu kajian oleh Fakulti Perubatan Universiti Indonesia telah dilakukan terhadap 43 orang golongan geriatric kesimpulan dari kajian itu menunjukkan pada puasa Ramadhan akan berlakunya pembaikan fungsi ginjal pesakit geriatic dengan mekanisma yang belum jelas. Kemungkinan 'growth hormone' berperanan dalam proses pembaikan tersebut manakala Pada minggu pertama dan pertengahan puasa Ramadan, penurunan fungsi berlaku. Secara klinikal keadaan ini tidak merbahaya. Kemudian pada akhir puasa dan dua minggu selepas puasa terjadi pertambahan fungsi ginjal, bahkan lebih baik dari sebelum berpuasa.
Menurut Prof Madya Mohd Isa Abdul Majid, Pusat Racun Negara USM, salah satu aktiviti berpuasa mencegah diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam yang membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat dari aktiviti pencernaan makanan. Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan. Semasa berpuasa, bahan yang tersimpan di dalam badan akan disalurkan kepada bentuk yang lain yang digunakan oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi badan. Sebagai contoh, semasa berpuasa, simpanan tenaga dalam bentuk glikogen di dalam badan akan ditukarkan kepada glukosa dan seterusnya dimetabolismakan untuk menghasilkan tenaga. Dalam hal ini, proses penggunaan bahan simpanan atau bahan yang sedia ada dalam tubuh dikenali juga sebagai proses asas pemulihan (detoxification). Selain itu beliau berpendapat bahawa ibadah puasa mampu menyelamatkan kesihatan perokok tegar. Ini kerana bagi mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun yang terhasil dari asap rokok kedalam badan manusia melalui saluran pernafasan atau pemakanan. Oleh itu amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawab agama, bertujuan untuk mencegah kemasukan bahan racun. Selain itu membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan. Keadaan yang berlaku semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan daripada bekerja pada maksimum dalam mengeluarkan bahan racun yang memasuki ke dalam badan.
CARA BERPUASA YANG TIDAK BERKESAN
Berikut adalah beberapa cara atau kebiasaan yang harus dijauhi supaya kita mendapat manfaat puasa sepenuhnya:
• Makan terlalu banyak samada pada waktu sahur atau berbuka
• Memakan makanan yang pedas, berempah atau payah dihazam
• Memakan terlalu banyak daging binatang terutama bagi mereka yang mengidap batu karang, gout, allergi, alahan)
• Suka mengulangi makanan sepanjang malam
• Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
• Tidur selepas makan (perut kenyang)
• Minum terlalu banyak kopi atau teh.
Jika kita masih meneruskan amalan di atas, kita bukan sahaja akan kurang mendapat manfaat puasa, malahan kita akan merasa letih dan mungkin juga akan mengalami berbagai masalah kesihatan akibat amalan tersebut. Malangnya masih ramai orang Islam yang berpuasa sedemikian. Dr. Alan Cott menyatakan dalam bukunya ‘Fasting: The Ultimate Diet' bahawa, "...Muslims fast religiously and unhealthily for a whole month. They eat and drink nothing during the day and gorge themselves at night." Tidak boleh dinafikan memang ada kebenaran dari apa yang dikatakan oleh Dr. Alan Cott mengenai cara orang Islam berpuasa. Walaupun pahit, kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk membaiki diri agar kita akan mendapat manfaat sepenuhnya dari amalan puasa.
Saranan Rasulullah S.A.W, sahabat dan ulamak berkenaan puasa:
Menahan lapar di bulan puasa (Ramadan) ataupun diluar bulan puasa mengandungi faedah dan manfaat yang sangat besar untuk kesihatan badan dan kesihatan hati manusia. Hal ini sudah diterangkan oleh Rasulullah S.A.W dan telah dicontohkan oleh baginda dan keluarganya; Rasulullah S.A.W bersabda; yang ertinya, “Berpuasalah supaya kamu sihat.” Hadith Riwayat Abu Naiim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan